Sabtu, 2 Mac 2013

"Thinking Class..."

Pembelajaran bukan seperti menonton wayang gambar atau menonton TV. Pelajar tidak  belajar jika hanya setakat duduk mendengar guru bercakap, menghafal dan menulis kembali jawapan di dalam ujian atau peperiksaan. Pelajar perlu bercakap apa yang telah dipelajari, membuat penulisan reflektif tentang apa yang telah dibelajar, membuat hubung kait dengan pengalaman-pengalaman sebelumnya serta dapat mengaplikasi pengalaman pembelajaran tersebut dalam kehidupan seharian. Pengajaran abad ke-21 perlu berfokuskan kepada pelajar di mana pelajar perlu digalakkan untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam proses pembelajaran dengan menyoal, berbahas, mengalami sendiri proses pembelajaran tersebut, membuat pencarian, berdaya tahan dan tekun serta tabah dalam melakukan sesuatu. Amalan di dalam kelas harus dapat melibatkan pelajar dengan kandungan pembelajaran bukannya guru sahaja menyampaikan kandungan pengajaran. Biasanya pelajar lebih tertarik dengan kandungan pembelajaran sekiranya maklumat dipersembahkan secara visual dan mereka lebih suka belajar bersama rakan sebaya. Untuk merealisasikan pembelajaran seperti ini, pelajar harus sentiasa berfikir. Proses berfikir akan menjadi budaya sekiranya pelajar dan guru sentiasa mengamalkannya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Di dalam melaksanakan program i-THINK, Thinking School  digambarkan berdasarkan kepada enam fokus berikut:
  • Penyoalan reflektif
  • Kemahiran berfikir
  • Pemetaan visual
  • Rangkaian kolaboratif
  • Membangunkan kecenderungan peribadi
  • Membentuk persekitaran
Titik Permulaan i-THINK


Penyoalan Reflektif 
Penyoalan merupakan satu alat yang dapat membantu menggalakkan murid berfikir. Penyoalan dapat mencungkil pemikiran pelajar tentang apa yang mereka tahu,bagaimana mereka tahu (refleksi kritikal), dan berfikir tentang apa yang mereka fikir (metacognition). Di samping itu, melalui penyoalan  guru dapat mencungkil kecenderungan pelajar dalam pemikiran dan bagaimana pelajar berkolaborasi dengan pelajar  lain semasa proses pembelajaran.   


Kemahiran Berfikir 
Kemahiran berfikir merupakan perlakuan proses pemikiran asas untuk menjana dan menyusun maklumat, membina kemahiran menganalisa dan mensintesis, memproses maklumat secara kreatif serta melakukan penilaian. Guru perlu menyemai dan membentuk suatu ruang julat dalam pemikiran pelajar melalui:
                   - Kemahiran berfikir aras rendah
                   - Kemahiran berfikir aras tinggi   

Pemetaan Visual
Teknik untuk menggambarkan maklumat secara visual melalui brainstorming webspenyusunan grafik dan pemetaan secara bersistem.  

Rangkaian Kolaboratif
Rangkaian kolaboratif merupakan kerjasama dalam kumpulankelas atau sekolah bagi berkongsi pengetahuan atau kemahiran untuk memantapkan pembelajaran. Rangkaian ini boleh dihubungkan melalui teknologi baru untuk menggalakkan murid mempelajari sesuatu secara lebih meluas. Rangkaian kolaboratif boleh dilaksanakan di dalam pengajaran menggunakan pendekatan pembelajaran secara kooperatif. Menurut Slavin (1990), semua kaedah pembelajaran koperatif memerlukan pelajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran rakan-rakan sepasukan mereka selain daripada pembelajaran mereka sendiri.Selain daripada idea bekerjasama, kaedah pembelajaran pasukan pelajar memberi penekanan kepada penggunaan matlamat pasukan dan kejayaan pasukan, ianya boleh dicapai apabila semua ahli dalam pasukan memberi komitmen yang diperlukan.


Membentuk Persekitaran
Persekitaran pembelajaran yang kondusif mempunyai kesan yang tinggi terhadap pengajaran dan pembelajaran. Pengurusan sekolah dan kawasan persekitaran, susunan murid di dalam bilik darjah, aksesibiliti bahan untuk pembelajaran dan penggunaan semua sumber yang ada dalam kawasan sekolah dan komuniti merupakan dimensi untuk membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif  

Membangunkan Kecenderungan Peribadi

Kecenderungan peribadi adalah berkaitan dengan penggunaan pelbagai kemahiran  berfikir yang boleh membawa kepada ketekalan, minda yang terbuka dan metakognitif di samping penggunaan pelbagai kecerdasan emosi dan  membentuk empati dalam perhubungan.   

Kesimpulannya, dalam merealisasikan thinking classroom, guru perlu menjadi thinker untuk merancang pengajaran yang dapat membimbing pelajar untuk berfikir dengan mengambil kira enam fokus di atas. Suasana pembelajaran yang kondusif adalah apabila pelajar dapat melibatkan diri secara aktif di dalam proses mendapatkan pengetahuan atau kemahiran melalui perbincangan untuk memahami maklumat, mengaplikasi pengetahuan dalam situasi baharu dan membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi.                                    

       If you are, you breathe. If you breathe, you TALK. If you talk, you ASK. If you ask, you THINK. If you think, you SEARCH. If you search, you EXPERIENCE. If you experience, you LEARN. If you learn, you GROW. If you grow, you wish. If you wish, you FIND. If you find, you DOUBT. If you doubt, you QUESTION. If you question, you UNDERSTANDIf you understand, you KNOW. If you know, you want to know more. And if you want to know more, YOU ARE ALIVE.  
-National Geographic-
                                                                 

                                                                                                                  

Rabu, 27 Februari 2013

Peta Pemikiran (Thinking Map)

Untuk permulaan program i-THINK telah memperkenalkan lapan peta pemikiran  sebagai alat berfikir. Peta Pemikiran dapat menggabungkan proses pembelajaran secara kognitif dan maklumat secara visual dapat dipersembahkan dalam bentuk grafik. Setiap peta pemikiran mempunyai proses pemikiran tertentu. Justeru penggunaan peta pemikiran di dalam pengajaran dan pembelajaran sangat menyokong pendekatan pembelajaran berasaskan strategi di mana dalam menyelesaikan sesuatu masalah pelajar perlu memikirkan  proses pemikiran tertentu seterusnya hasil pemikiran tersebut digambarkan dalam bentuk visual. Untuk melibatkan murid di dalam proses pemikiran, penyoalan adalah amat penting untuk merangsang pemikiran terutamanya pemikiran aras tinggi yang kritis dan bermakna.

Lapan Peta Pemikiran

  1. Peta bulatan
  2. Peta buih
  3. Peta buih berganda
  4. Peta pokok
  5. Peta alir
  6. Peta pelbagai alir
  7. Peta titi
  8. Peta dakap

1. Peta bulatan


Contoh Penggunaan Peta Bulatan
Penerangan untuk Peta Bulatan:

Bulatan tengah: Idea/Perkataan utama, gambar atau simbol
Bulatan luar: Semua idea berkaitan yang difikirkan murid 
Bingkai rujukan: Bingkai rujukan mengelilingi peta membolehkan murid mengenal pasti dari mana mereka mendapat maklumat (ibu bapa, rakan, guru, buku, internet dsb.)

Proses Pemikiran: Mendefinisikan mengikut konteks

  • Sumbangsaran idea dan mempamerkan pengetahuan sedia ada berkaitan sesuatu tajuk dengan memberikan maklumat mengikut konteks.
Contoh-contoh Penyoalan: 

Nyatakan apa yang anda tahu tentang sistem solar
Sumbang saran tentang semua kaedah  kitar semula
Nyatakan apa yang anda belajar tentang pecahan
Tuliskan apa yang anda tahu tentang teknologi hijau

Lain-lain peta pemikiran, sila rujuk laman web berikut: http://www.ithink.org.my







Selasa, 26 Februari 2013

Membudayakan kemahiran berfikir

Dapatan kajian oleh UNESCO (2011) menunjukkan bahawa guru di Malaysia mengajar untuk peperiksaan. Kajian keperluan oleh Perunding Kestrel Education (UK) dan 21 Century Schools (USA) pada 2 November 2011 mendapati bahawa pemikiran aras tinggi dalam kalangan guru dan murid di Malaysia amat rendah. Pelan Pembangunan Pendidikan (2013 - 2025) juga telah menterjemahkan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai aspirasi murid melalui enam elemen di mana salah satunya adalah kemahiran berfikir. Sehubungan dengan itu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bersama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengambil inisiatif untuk memperkenalkan program i-THINK. Projek rintis program i-THINK telah dilaksanakan di 10 buah sekolah seluruh Malaysia yang terdiri daripada 6 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah. Pihak AIM telah melantik perunding dari Kestrel Education (UK) untuk mengendalikan kursus kemahiran berfikir kepada guru sekolah rintis dan Jurulatih Kebangsaan yang terdiri daripada guru sekolah, pensyarah Institut Pendidikan Guru dan Institut Aminuddin Baki. Hasrat KPM adalah untuk memperluaskan program ini kepada 1,000 buah sekolah pada tahun 2013 dan seterusnya kesemua sekolah menjelang 2014.

Fokus di dalam program i-THINK adalah untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui penggunaan alat berfikir, seterusnya guru digalakkan menggunakan penyoalan pelbagai aras (merujuk kepada Bloom's Revised Taxonomy)  untuk membantu merangsang pemikiran murid. Melalui penyoalan pelbagai aras yang disokong dengan penggunaan alat-alat berfikir yang bersesuaian adalah diharapkan sistem pendidikan di Malaysia dapat melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif yang mampu berfikir pada aras tinggi.

(Sumber: http://ictintegration.wikispaces.com)

i-THINK merujuk kepada pemikiran inovatif (innovative thinking). Dalam membudayakan pemikiran inovatif, penggunaan alat-alat berfikir seperti peta pemikiran oleh David Hyerle, peta minda oleh Tony Buzan, enam topi pemikiran dan CoRT oleh Edward de Bono, habits of mind oleh Prof.  Arthur L. Costa dan Bena Kallick dan sebagainya dapat membantu murid dalam membuat visualisasi tentang sesuatu pemikiran.

He who learns but does not think, is lost! He who thinks but does not learn is in great danger                       - Confucius