Selasa, 26 Februari 2013

Membudayakan kemahiran berfikir

Dapatan kajian oleh UNESCO (2011) menunjukkan bahawa guru di Malaysia mengajar untuk peperiksaan. Kajian keperluan oleh Perunding Kestrel Education (UK) dan 21 Century Schools (USA) pada 2 November 2011 mendapati bahawa pemikiran aras tinggi dalam kalangan guru dan murid di Malaysia amat rendah. Pelan Pembangunan Pendidikan (2013 - 2025) juga telah menterjemahkan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai aspirasi murid melalui enam elemen di mana salah satunya adalah kemahiran berfikir. Sehubungan dengan itu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bersama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengambil inisiatif untuk memperkenalkan program i-THINK. Projek rintis program i-THINK telah dilaksanakan di 10 buah sekolah seluruh Malaysia yang terdiri daripada 6 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah. Pihak AIM telah melantik perunding dari Kestrel Education (UK) untuk mengendalikan kursus kemahiran berfikir kepada guru sekolah rintis dan Jurulatih Kebangsaan yang terdiri daripada guru sekolah, pensyarah Institut Pendidikan Guru dan Institut Aminuddin Baki. Hasrat KPM adalah untuk memperluaskan program ini kepada 1,000 buah sekolah pada tahun 2013 dan seterusnya kesemua sekolah menjelang 2014.

Fokus di dalam program i-THINK adalah untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui penggunaan alat berfikir, seterusnya guru digalakkan menggunakan penyoalan pelbagai aras (merujuk kepada Bloom's Revised Taxonomy)  untuk membantu merangsang pemikiran murid. Melalui penyoalan pelbagai aras yang disokong dengan penggunaan alat-alat berfikir yang bersesuaian adalah diharapkan sistem pendidikan di Malaysia dapat melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif yang mampu berfikir pada aras tinggi.

(Sumber: http://ictintegration.wikispaces.com)

i-THINK merujuk kepada pemikiran inovatif (innovative thinking). Dalam membudayakan pemikiran inovatif, penggunaan alat-alat berfikir seperti peta pemikiran oleh David Hyerle, peta minda oleh Tony Buzan, enam topi pemikiran dan CoRT oleh Edward de Bono, habits of mind oleh Prof.  Arthur L. Costa dan Bena Kallick dan sebagainya dapat membantu murid dalam membuat visualisasi tentang sesuatu pemikiran.

He who learns but does not think, is lost! He who thinks but does not learn is in great danger                       - Confucius
                                                                                                  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan